Memaparkan catatan dengan label M.I.S.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label M.I.S.. Papar semua catatan

Selasa, 2 Mac 2010

MENGINGAT 28 TAHUN DAHULU

Dalam Kuthbah Iedil Adha tahun 1982 dahulu dihalaman Madrasah Ittiba Us Sunnah Kuala Pilah, Aly. Ustaz Hashim A. Ghani pernah menyarankan agar pihak berkuasa Agama di negara ini khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dinegara merdeka ini meminda peraturannya kepada suatu peraturan yang luhur, supaya KEMERDEKAAN yang diperjuangkan oleh rakyat itu benar-benar dapat memberi keharmonian hidup beraqidah dan beribadah, bukan suatu himpitan dan paksaan. Peraturan beragama sekarang merupakan PERANGKAP untuk menjerat dan MENCEKEK leher rakyat yang sudah begitu banyak menjadi mangsanya.

Dalam Kuthbahnya Allahyarham memberitahu bahawa pihak Jabatan Agama Islam N. Sembilan melalui Kadhi Daerah Kuala Pilah, supaya kedudukan Jamaah As Sunnah di Madrasah Ittiba Us Sunnah disini dibongkar dan dihadapkan kemuka Undang-undang Syarak. Jamaah As Sunnah juga telah menyumbang bermati-matian bersama seluruh rakyat negara ini untuk mencapai kemerdekaan dan menyumbang jiwa raga untuk mengembang faham Islam yang murni terutama di Negeri Sembilan ini, tetapi rupanya jasa baik itu hancur menjadi debu.

Apa salahnya pihak kerajaan yang kami sama mengangkatnya semenjak 25 tahun yang lalu, merubah akta-akta yang menekan kebebasan beraqidah dan beribadat itu dipinda dan disesuaikan dengan jiwa Islam dan secucuk dengan seluruh keluarga Sunnah yang sudah tumbuh di Kuala Pilah ini sejak sebelum perang dunia kedua. Selanjutnya Allahyarham menyampaikan bahawa Keluarga Sunnah di Kuala Pilah bukan pendatang asing dan baru dinegeri ini, kita adalah rakyat asal Negeri Sembilan. Faham Qur'an-Hadits memang tidak asing disini, kita tidak pernah membuat kekacauan dan huru hara, dan mengapa soal dan kedudukan Jamaah As Sunnah ingin dibongkar dan diungkit-ungkit semula. Allahyarham menyebut bertapa malangnya ummat Islam kini disebab perbuatan pemimpin Islam sendiri, yang keluar dari ajaran Al-Qur'an dan Hadits.

Demikian petikan sebahagian Kuthbah Allahyarham Hashim A. Ghani tahun 1982 itu, yang berhubungkait dengan peristiwa MIS diserbu oleh JHEAINS dan menahan Penceramah Undangan Ustaz Fathul Bari berserta dengan 3 yang lain pada 28hb. Febuari yang lalu. Sebagai sebuah badan yang menjaga hal ehwal Agama Islam dinegeri ini, maka penampilan yang wajib ditonjolkan ialah ciri-ciri keIslaman seperti bersopan-santun, menghormati kawan dan lawan, beradab dan sebagainya. Tetapi sebaliknya berlaku ketika mereka menyerbu dan menceroboh MIS, mereka bertindak aggresif, kasar dan tidak sopan, menafikan hak individu yang berada di MIS dan melakukan apa sahaja dengan alasan mereka punya KUASA. Siapa yang mempersoalkan tindakan mereka akan diambil Kad Pengenalan. Mengerahkan anggota penguatkuasa JHEAINS bersama pasukan Polis dengan begitu ramai yang menjangkau hampir 70 orang memberikan implikasi buruk terhadap MIS kepada orang awam diluar, seolah-olah sedang berlaku operasi menangkap penjenayah paling ganas sedang dilakukan.

Oleh yang demikian, suka kami menyarankan kembali, seruan yang dibuat oleh Allahyarham 28 tahun dahulu disemak semula dan kami serukan lagi agar peraturan-peraturan atau enakmen-enakmen di JHEAINS itu dikaji semula agar ia bersesuaian dengan kehendak Al-Qur'an dan Hadits Nabi SAW agar rakyat dapat beramal dengan keyakinan mereka berdasarkan kedua sumber tersebut dengan aman dan harmoni tanpa ada rasa ketakutan atau perasaan benci terhadap pemerintah. Penguatkuasa-penguatkuasa di JHEAINS itu juga wajib dididik dengan asas-asas Islam agar tindakan yang mereka lakukan bersesuaian dengan apa yang diajarkan kepada mereka dan juga mencerminkan identiti JHEAINS sendiri. Wassalam.

Ahad, 28 Februari 2010

MIS DIGANGGU LAGI

Hari ini Ahad 14 Rabiul Awal 1431H bersamaan 28hb. Febuari 2010 Jamaah As Sunnah Kuala Pilah diserbu kira-kira hampir 70 orang anggota Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS) dan Pasukan Polis ketika sedang tekun mengikuti kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Fathul Bari yang bermula jam 11.00 pagi. Setelah setengah jam Ustaz Fathul Bari memberikan Kuliah secara tiba-tiba dan mengejutkan kumpulan tersebut mengepung sekeliling MIS dan menyerbu masuk, namun dengan ketenangan Jamaah As Sunnah menghadapi keadaan itu kekecohan dapat dielakkan. Tindakan pihak berkuasa tersebut yang mengepung MIS dengan anggota seramai hampir 100 orang itu mengejutkan ramai pihak, termasuk penduduk sekitar sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas, kerana tindakan tersebut seolah-olah memburu penjenayah besar sedang bersembunyi di MIS. Ustaz Fathul Bari bersama dua Rakannya dan Ustaz Khairuddin Daud telah dibawa ke Balai Polis dan Pejabat Agama Islam Kuala Pilah untuk diambil keterangan, berserta dengan beberapa bahan bukti seperti buku-buku, papan tulis, microphone, kerusi dan beberapa bahan lain. Sesuatu yang amat mengejutkan JHEINS berusaha untuk memasukkan mereka kedalam lokup polis sehingga dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Pilah keesokkan harinya, tetapi atas bantuan beberapa rakan mereka berjaya dikeluarkan dan mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Kuala Pilah esok 1hb. Mac 2010 jam 9.00 pagi. Mengingat kepada ayat Allah SWT: "Mereka (yang dicintai Allah) ialah mereka yang berjuang pada jalan Allah, dan mereka tidak bimbang kepada celaan manusia yang mencelanya. (Al Maidah: 54) . Jamaah As Sunnah melalui dugaan ini dengan tenang dan sabar kerana inilah jalan sukar dan berliku yang harus dilalui sebagai pendukung dan pembela Agama Allah dan RasulNya. Dan lagi dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3: "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:"Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta".

Sabtu, 9 Januari 2010

BELASUNGKAWA

Bekas Naib Yang Di Pertua Madrasah Ittiba' Us Sunnah, Haji Ujang bin Yatim 93 tahun kembali ke rahmatulLah petang semalam jam 6.45 petang. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampong Pelangai sebelum Dzohor hari ini. Sewaktu hidupnya beliau memberikan sumbangan yang amat besar kepada perkembangan Madrasah Ittiba' us Sunnah dan salah seorang yang mengeluarkan Memorandum MIS pada tahun 1966. Disamping itu Allahyarham juga bergiat cergas dalam politik dan pernah memegang jawatan Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Pilah untuk beberapa penggal dalam tahun 80han. Kami mendoakan semoga roh Allahyarham digolongkan Allah SWT bersama orang-orang yang beriman.

Khamis, 31 Disember 2009

JAMAAH AS-SUNNAH SOLAT EID DITANAH LAPANG

Jamaah As Sunnah Kuala Pilah menunaikan Solat Eid Fitr di Tanah Lapang di MIS pada Ahad 1 Syawal bersamaan 20 September 2009 yang lalu. Hampir 800 orang memenuhi ruang bagi menunaikan solat tersebut yang diimankan oleh Ustaz Musa Saderi.

P1020668


P1020664

Setelah selesai Kuthbah, turut memberikan ucapan ialah Ketua Kampung Parit, Sdr. Shukri Sharif, Hazman Hashim dan Dato’ Kamel bin Dato’ Yusof.

P1020659

P1020678

P1020680

Dalam ucapan-ucapan tersebut Jamaah diseru supaya berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah yang menjadi perpegangan selama ini, juga perkembangan Gerakan Kembali Kepada kedua sumber itu telah melebar keseluruh negara.

Rabu, 30 Disember 2009

M.I.S.

SEJARAH PERJUANGAN MIS


mis

Madrasah Ittiba Is Sunnah atau ringkasnya MIS di Kampung Parit, Kuala Pilah ini adalah penghijrahan dari Madrasah Aliyah Islamiyah, Kampung Pelangai yang dipelopori oleh Almarhum Maadah bin Layang seorang ulamak dan tokoh agama yang terkenal semasa sebelum penjajahan Jepun di Tanah Melayu.


maadah1

Beliau telah mendirikan Madrasah tersebut iaitu Madrasah Aliyah Islamiyah (The High Islamic School) atas bantuan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad Shah antara tahun 1937-1942.

Penubuhan MIS adalah ilham daripada beberapa tokoh Gerakan Islah tempatan seperti Dato’ Pengaman Ismail, Alang Ali, Abu Bakar Ghani Ust. Aziz Yunus dan lain-lain pada tahun 1952. Kepulangan Ust. Hashim Ghani dari melanjutkan pelajarannya di Al Mashyor, Pulau Pinang telah mengabungkan faktur-faktur pengerak tertubuhnya MIS. Pada tahun 1954 bangunan tersebut dinamakan Madrasah Ittiba Us Sunnah oleh Fakeh Sutan (Fakeh Godang) iaitu bapa kepada tokoh nasionalis Shamsiah Fakeh. Kemunculan Madrasah ini telah memberi suatu nafas baru kepada gerakan pembaharuan di Negeri Sembilan setelah penutupan Madrasah Aliyah Islamiyah di Kampung Pelangai. Pada awal gerakan ini beberapa tokoh Gerakan Pembaharuan dari luar seperti Syeikh Ahmad Amin dari Melaka, Syeikh Abu Bakar Syaari, Ibrahim Akibi sering berulang alik ke Madrasah ini untuk memberikan pengajaran dan penyubur semangat. Penubuhan MIS ini menimbulkan rasa kurang senang dikalangan mereka yang anti kepada MIS, beberapa aduan telah dibuat kepada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan. Suatu perdebatan antara MIS dengan ulamak-ulamak Kuala Pilah telah diadakan pada 5hb Ogos 1954 di Pejabat Kadzi Kuala Pilah. Jamaah As-sunnah MIS telah mendirikan Jumaat di Madrasah tersebut mulai 15 Mac 1957 bagi mengelakkan perselisihan, maka tekanan semakin kuat diterima oleh Jamaah di MIS. Berikutan itu telah timbul beberapa pergolakan yang semakin membesar diantara MIS dengan Masjid Ranjau Hantu, Kg. Parit dan Jabatan Agama Islam N. Sembilan. Krisis ini mendapat liputan meluas melalui dada-dada akhbar kerana Ust. Hashim menggunakan kekuatan penanya untuk membalas kritikan. Berikutan itu sekali lagi Jabatan Agama Islam NS telah memanggil jamaah MIS yang terdiri dari pada Ust. Hashim Ghani, Ust. Malik Hussin dan 4 orang yang lain untuk berhujjah di Dewan Majlis Agama Islam Seremban pada 15 Januari 1958 dengan dihadiri oleh 18 orang Kadzi seluruh

mis721

Negeri Sembilan, merinyu zakat fitrah serta 20 orang ahli agama yang lain sebagai pemerhati. Dalam berdebatan tersebut Mazhab, berasingan mendirikan solat Jumaat menjadi topik utama. (Catatan perdebatan tersebut akan dinukilkan kemudian). Bagi menjelaskan perpegangan fahaman MIS telah mengeluarkan satu memorandum pada 22 Julai 1966 mengenai kewujudan Jamaah As Sunnah dan perpegangan Agama menurut Al-Qur’an dan Sunnah. Tahun 50 dan 60han merupakan tahun yang amat getir bagi MIS, ia diserang dan difitnah oleh para penentang, dan dalam masa itu MIS hanya mempertahan diri dan menjawab semua tuduhan. Mulai tahun 70han MIS mengorak langkah kedepan dan mengembangkan peranan Madrasah tersebut dan membuka pengajian kepada penuntut luar. Teras pengajian di MIS ialah Pelajaran Menterjemah Al-Qur’an secara harfiah serta ilmu Nahu, saraf, Bahasa Arab serta Asbabun Nuzul, Mata pelajaran lain seperti Tauhid feqah, ibadat dan ilmu hadits turut diajar. MIS mendapat sambutan yang mengalakkan terutama pelajar-pelajar universiti yang mengikuti pelajaran itu waktu cuti. Pada tahun 1976 telah bermula satu Kursus yang diberi nama “Kursus Intensif Islamiyah” dengan tujuan untuk menanam rasa cinta umat Islam kepada Al-Qur’an dan Sunnah. Kursus Intensif ini diadakan saban tahun dan terakhir diadakan pada tahun 1980 bagi kali yang ke lima yang dihadiri oleh kira-kira 300 orang peserta kader As-Sunnah. Tahun 70han juga turut mewarnai pergeseran dengan Jabatan Agama Islam N. Sembilan dengan ketegasan MIS mempertahankan pendirian berdasar dalil dengan berbeza menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Perjalanan MIS terus berjalan sehingga sekarang walaupun sesudah ketiadaan Ust. Hashim Ghani, kini dipimpin oleh Ust. Musa Saderi yang jua menantu kepada Ust. Hashim dengan dibantu oleh Ust. Khairuddin Daud dan Dr. Nordin Rashid. Bagi mengembangkan sayap gerakan ini, sebuah badan NGO telah ditubuhkan yang bernama AL-Mizaan yang berpusat di MIS yang mempunyai jaringan seluruh Malaysia. Penubuhan Badan ini telah dirasmikan oleh Mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abidin tahun 2008 yang lalu.

(Akan bersambung)

 
Al-Miezaan Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template