Sabtu, 20 November 2010

JHEAINS DAN UTUSAN MALAYSIA BERNIAT JAHAT TERHADAP MIS

Seperti yang telah disebarkan kepada umum, bahawa satu tangkapan telah dibuat terhadap ahli As Sunnah di Kuala Pilah pada 12 November yang lalu berhubung soal mendirikan solat Jum'at di MIS. Seramai 5 orang telah ditahan untuk didakwa oleh JHEAINS. Akhirnya hanya 3 orang sahaja didakwa, itupun bukan atas tuduhan mendirikan solat Jum'at tetapi "disyaki mengamalkan ajaran salah". Apa yang dipaparkan oleh media perdana oleh UTUSAN MALAYSIA dan SINAR memberikan gambaran buruk dan negatif terhadap MIS dengan kenyataan MIS bahawa"SOLAT JUMAAT SEBAGAI AMALAN BID'AH", sedangkan ia suatu kewajipan bagi seluruh Umat Islam. Inilah kaedah yang digunapakai oleh JHEAINS dalam menghadapi kemelutnya dengan MIS dengan menggunakan pendekatan kasar dan jahat, menyebarkan fitnah dan menjatuhkan maruah MIS kepada mata masyarakat. Kegiatan intipan, serbuan dan tangkapan terhadap Ahlis Sunnah Kuala Pilah semenjak kebelakangan ini merupakan suatu tindakan jahat yang melampau terhadap Umat Islam Negeri ini yang berusaha mengamalkan ajaran Al-Qur'an dan Sunnah tanpa berselindung dan bersembunyi, kerana pengistiharan dan deklarasi kewujudan Keluarga As Sunnah telahpun dikeluarkan sebanyak 2 kali kepada pemerintah. dan umum. Kegiatan tangkapan terakhir itu, dilihat sengaja dilakukan dengan perencanaan rapi bagi menjatuhkan maruah MIS kerana para wartawan telah dibawa bersama-sama dengan penguatkuasa JHEAINS dalam serbuan serentak itu. Keratan akbar dibawah menyatakan FITNAH TERANCANG mereka terhadap MIS.

Tangkapan pertama untuk tahun 2010 dalam bulan Mac lalu, masih tertangguh lagi perbicaraannya dan tidak upaya diselesaikan, Begitu juga tangkapan kali kedua pada pertengahan tahun ini, masih juga tertangguh. Keluarga As Sunnah terus ditekan lagi untuk tangkapan kali ketiga tahun ini. Kami melihat JHEAINS bertujuan untuk menyusahkan rakyat di MIS ini dan tidak bertujuan untuk menyelesaikan kemelutnya dengan MIS dengan hikmah dan bijaksana.


Sabtu, 13 November 2010

JAMAAH MADRASAH ITTIBA IS SUNNAH DI UJI LAGI

Alhamdullilah, ujian Allah datang lagi bagi menguji kekuatan Iman Jamaah As Sunnah Kuala Pilah, dan kali ini pada 12hb. November 2010 segerombolan Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang diketuai oleh Penyelaras Operasi Mohd Zol Sidek bersama-sama hampir 100 orang Penguatkuasa termasuk Wartawan dan Pemberita yang datang serentak dan terus menyerbu dan mengepung MIS (Madrasah Ittiba Us Sunnah). Modus Operandi kelihatan sudah dirancang dengan begitu rapi dan dilihat bertujuan untuk menjatuhkan maruah MIS dengan tindakan sedemikian rupa seolah-oleh menyerbu sarang Penjenayah yang sangat ditakuti. Tahun 2010 ini merupakan tahun getir bagi Perjuangan MIS yang menegakkan dasar Al-Qur’an dan Sunnah Rasul SAW. Tetapi atas perpegangan kepada Ayat Allah: Mereka (yang dicintai Allah) ialah mereka yang berjuang pada jalan Allah, dan mereka tidak bimbang kepada celaan manusia yang mencelanya”. Jamaah As Sunnah Kuala Pilah menerima cabaran ini dengan tenang dan tanpa bimbang dengan sebarang celaan dan cabaran itu.

Setiap peristiwa dan kejadian pasti ada sebab musabab dan kesannya, maka itu ia wajib dijadikan pengajaran dan pedoman, supaya ia dapat diperbetulkan mana yang salah berdasar: “Tidak ada yang akan menjadikannya pengajaran, kecuali mereka yang berotak berfikiran” (Ali Imran: 7)

Suatu keganjilan terserlah terhadap kelakuan dan tindak tanduk Pegawai JHEAINS dan para anggotanya, kerana kesemuanya tidak menunjukkan ciri-ciri bahawa mereka berkerja dibawah Jabatan Agama Islam, kenapa tidak? Bila masanya mereka mendirikan Solat Jum’at? Kerana ketika itu seluruh Umat Islam sedang menunaikan kewajipan Solat Jumaat, ini bermakna, orang yang tidak bersembahyang, menangkap orang-orang yang sedang bersembahyang, amatlah pelik dan ta’jubnya kejadian ini. Pakaian para anggota termasuk anggota wanitanya yang mengenakan pakaian seluar Jeans ketat tidak melambangkan mereka berkerja dengan Jabatan Agama Islam, dengan kelakuan angkuh dan sombong, bertindak secara kasar dan biadap, menyerbu masuk ke mursala MIS bersama-sama para wartawan wanita bukan Islam yang tidak menutup aurat dibawa masuk bersama-sama oleh Pegawai JHEAINS dalam operasinya itu. Jamaah MIS masih boleh menerima tekanan dan penghinaan dari Pemerintah dengan cara itu, maka itu tidak terjadi sebarang kejadian kekecuhan kepada operasi yang dilakukan JHEAINS.

Mungkin sesuatu yang ada pada MIS sudah luput dari ingatan para Pegawai yang berkuasa di JHEAINS hari ini, maka itu tindakannya amat kasar dan tidak bersopan. Mereka mungkin lupa atau sengaja melupakan sejarah yang tercipta di MIS dalam lakarannya di negeri dan negara ini atau perasaan dendam dan sakit hati dengan perkembangan pesat yang yang dicapai oleh MIS.

Sejarah perkembangan Gerakan As-Sunnah sudah lahir di Kuala Pilah semenjak tahun 1930han lagi yang dimulakan oleh Maulana Muhammad Maadah Bin Layang anak kelahiran Tengkek dengan mendirikan Pusat Pengajian Tinggi Islam atau The High Islamic School di Kg. Pelangai, dan Sekolah ini mendapat biaya dan tunjangan kuat dari Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad Shah. Sekolah Agama ini mendapat perhatian dan terkenal di seluruh negeri Tanah Melayu ketika itu. dengan kaedah Memahami Al-Qur’an melalui Sistem Harfiyah (terjemahan perkata) dan pada suatu ketika lebih 300 orang menerima pelajaran di Sekolah tersebut.

Selain itu, Maulana Maadah Bin Layang adalah seorang pendakwah yang berpegang kepada Fahaman Kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah dan menolak fahaman Tahyul, bid’ah dan khurafat yang banyak diamalkan oleh masyarakat Melayu beragama Islam kerana disebabkan kekurangan pengetahuan dan maklumat ketika itu. Oleh kerana pembaharuan dan pemurnian Akidah yang dibawa oleh Muhammad Maadah Bin Layang ini membuka minda dan pemikiran Umat Islam setempat, beliau mendapat perhatian dari Pembesar Istana seperti Tuanku Laksamana Abdul Kahar, Tuanku Besar Burhanuddin dan mereka menganjurkan beberapa siri Syarahan dan beberapa siri dialog dengan para Ulamak tempatan dalam hal berbagai masaalah agama termasuk mendirikan solat Jumaat dalam satu kariah, Mazhab dan berbagai lagi.

Muhammad Maadah Bin Layang juga berkebolehan berbahasa Inggeris dengan fasih, dan ruang dakwah beliau tidak terbatas kepada masyarakat Melayu sahaja, bahkan beliau pernah berdialog secara terbuka dengan Padri Kristian di King George School Seremban pada tahun 1941.

Muhammad Maadah Bin Layang kembali ke RahmatulLah pada tahun 1942 dan Sekolah yang beliau asaskan itu turut berkubur selepas kematian beliau. Namun kesan pendidikan beliau kepada masyarakat setempat memberi impak yang sangat besar. Ustaz Hashim A. Ghani merupakan salah seorang anak didikan beliau, dan beliau menyambung pelajaran ke Sekolah Al-Mashyor Pulau Pinang yang sangat terkenal ketika.

Sekembalinya beliau dari Pulau Pinang, dengan sokongan beberapa anak-anak tempatan yang lebih tua dari beliau seperti Orang Besar Kampong Parit, Datuk Pengaman Ismail Bin Laksamana Manat, Tengku Idris, Tuan Fakeh Sutan Bin Sulaiman beliau mendirikan Madrasah Ittiba Us Sunnah yang bermatlamat membela Agama Allah berdasarkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul dan menjadikan Pelajaran Menterjemah Al-Qur’an Sistem Harfiyah sebagai matapelajaran utama dalam pendidikannya.

Pelajaran Menterjemah Al-Qur’an menerusi sistem Harfiyah (perkata) yang diperkenalkan oleh Muhammad Maadah Bin Layang ini dikembangkan lagi oleh Ustaz Hashim A. Ghani dengan lebih sistematik. Beliau menubuhkan sebuah toko bernama KTF Institut dan telah melatih ribuan pelajar yang berkemahiran menterjemah di muka Al-Qur’an. Beliau menerbitkan sebuah buku panduan mengenainya dan sebuah kamus bagi memudahkan pembelajaran. Dalam satu komentar oleh Prof. Dr. HAMKA, beliau menyatakan kekaguman dengan kaedah yang digunapakai bagi membuka pemahaman Umat Islam kepada Al-Qur’an dan beliau memberi rangsangan kepada beliau dalam usahanya itu.

Pelajaran Harfiah ini terus berkembang dengan pesat hingga kehari ini, dengan ribuan pelajar yang telah beliau latih untuk menjadi kader-kader yang berkemahiran memahami ayat-ayat Al-Qur’an dengan kaedah yang amat mudah bagi pelajar yang baru mengenal Al-Qur'an. Oleh kerana kaedah yang diperkenalkan oleh Ustaz Hashim ini amat praktikal, ia telah digunapakai oleh sebuah Pasentran terbesar di Indonesia dalam silibus Pendidikan Pasentran tersebut. Juga sebuah Rangkaian Radio (IKIM) telah menyediakan satu slot dalam rancangannya bagi Pelajaran Harfiah ini. Ini suatu jasa yang telah dilakukan oleh Madrasah Ittiba Us Sunnah terhadap perkembangan Agama Islam dinegara ini yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa jua termasuk Pegawai-pegawai di JHEAINS yang masih mentah itu.

Hasil penulisan Ustaz Hashim A. Ghani menjangkau 25 naskhah buku, dua daripadanya telah diharamkan oleh Bahagian Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri, iaitu Gayung Bersambut 1 (As Sunnah Membela Diri) dan Hajji Qiran, manakala hasil karya beliau yang terbesar ialah Buku Panduan Menterjemah Al-Qur’an Sistem Harfiah dan Kamus Terjemahan Al-Qur’an.

Madrasah Ittiba Us Sunnah turut dijadikan Pusat Gerakan As Sunnah Malaysia dan Ustaz Hashim Ghani sendiri telah dilantik sebagai Ketua. Ijtimak Keluarga Besar As Sunnah SeMalaysia telah beberapa kali diadakan di MIS, yang turut dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Hal Agama Islam Negeri Sembilan, Allahyarham Dato' Taha Talib dan juga Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ketika itu.

Maka itu, adalah sesuatu yang amat memalu dan mengaibkan sekiranya ada segelintir Pegawai-pegawai di JHEAINS itu tidak tahu akan sejarah perkembangan MIS, atau mereka sendiri sudah bernafsu besar untuk berkuasa di Jabatan itu dengan meminggirkan pendapat-pendapat lain yang bertentangan dengan mereka hanya kerana ingin menegakkan Fahaman Tarekat yang mereka pegang.

Oleh yang demikian JHEAINS perlu menilai semula fungsi dan peranan mereka dalam menghadapi kemelut ini dan tidak meletakkan kewibawaan JHEAINS kepada dua tiga kerat Pegawai yang mempunyai niat jahat terhadap MIS, supaya kewibawaan Jabatan itu sendiri tidak dipertikaikan dan menjadi bahan cercaan.

Akhirnya, selagi perpegangan Agama kami tidak dapat dipatahkan dengan hujjah-hujjah Al-Qur’an dan Hadits Nabi SAW, maka kami tidak akan berganjak sedikit walau seincipun, kerana ketaatan kami hanya kepada Allah dan Rasul dalam beragama dan mereka hanya boleh mendakwa Jamaah As Sunnah Kuala Pilah dengan pelbagai Akta dan Ordinan yang dicipta tangan-tangan Penjajah yang disambut oleh anak emas mereka di JHEAINS.


Sekian.

Hazman Hashim. Kuala Pilah

13hb. November 2010

Jumaat, 12 November 2010

DATO' ADAT DISYAKI IKUTI AJARAN SESAT DI MIS

JHEINS beserta anggota polis, wartawan akhbar dan TV yang dianggarkan seramai seramai 100 orang telah menyerbu ke Maahad Ittiba Is Sunnah (MIS) 1.30 tghri hari ini ketika umat Islam sedang menunaikan sholat Jumaat, waktu itu MIS tidak mengadakan sholat Jumaat tetapi 3 orang jamaah yang sedang menunaikan sholat zohor berserta dengan 2 orang muslimat. Mereka telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Pilah untuk dimbil keterangan.

3orang telah ditahan dan dituduh dibawah enekmen tatacara Jenayah Syariah (NS) 2003 Syeksyen 52 (EJTJS) Pindaan 2003 mengenai ajaran sesat. Mereka ialah Ustaz Khairudin Daud, Datuk Senara Kaya Tuan Hj. Idris bin Tain (92tahun) dan Sdr. Hashim Husaimi bin Sharif. Manakala 2 orang muslimat dibebaskan kerana tiada pertuduhan yang sesuai kepada mereka.

Mereka akan dibicarakan diMahkamah Syariah Kuala Pilah pada 22 November 2010 pada jam 9.00 pagi.
 
Al-Miezaan Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template