Ikhwanku Muslimin !
Allah SWT menurunkan KitabNya kepada kita untuk menjadi pertunjuk dan cahaya (nur) guna supaya mengajarkan AL-KITAB dan HIKMAT serta membersihkan kita dari segala noda kejahatan, dan di persiapkannya untuk meningkat kepada ketinggian, kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Allah dengan AL-KITAB itu bukan menurunkan sebuah perundangan seperti yang diciptakan oleh negarawan dan ahli fikir dunia, bukan pula seperti buku-buku susunan pakar perubatan dan para doktor, dan bukan juga buku sejarah yang dikumpulkan oleh sejarawan dimana dicatatkan segala peristiwa dan trajidi zaman, dan bukan pula per aturan atau sistem ekonomi dan perusahaan, kerana semua itu mampu dilakukan sendiri oleh manusia dengan bekalan otak dan daya akal mereka, ia tidak memerlukan WAHYU yang lantas dari Allah SWT.
Sebaliknya AL-QURAN ini adalah satu Kitab yang mengatasi segalanya yang disifatkan Allah sebagai Kitab yang tegas dan rapi (muhkam) segala ayatnya, ia telah diteliti dan diamalkan oleh ummat yang beriman dan Salihin yang dahulu dari kita sekarang, dengan Al-quran itu mereka menempah kejayaan yang amat besar dan mencapai ketinggian dalam bidang kehidupan dimuka dunia sebelum akhirat.
Dengan Al-quran itu Allah telah memimpin ummat Arab, menyebabkan mereka sampai kepuncak keagungan, demikian juga berbagai bangsa dunia telah sampai kepuncak kemajuan dengan pimpinan dan seruan Al-quran, mereka semuanya telah menjadi pemimpin kearah keluhuran hidup bahagia dan sa'adah dengan Al-quran, mereka menjadi ummat perkasa.dan gagah yang tiada tandingannya di tengah-tengah dunia. Pemerintahan Rum dan Farsi yang menjadi kuasa dunia dizamannya terpaksa tunduk dan pupus kekuasaannya dan juga banyak kuasa kesultanan dunia di Timur dan Barat telah melutut dan menyerah kepada keagungan Islam pimpinan Al-quran.
Atas pimpinan Al-quran pemerintahan Islam dan ummatnya telah menjadi jambangan bunga dunia yang indah dengan susunan dan karangan pelbagai ilmu dan anika rangka kemajuan dan pembangunan ummah, yang meliputi fizikal dan keruhanian. Ia menjadi rebutan seluruh dunia, padahal tokoh-tokoh Islam itu bukannya terdiri dari kaum peguam dan berketurunan ahli perundangan dan pakar dalam berbagai ilmu pengetahuan, melainkan kerana mereka beriman dan tamassuk (berpegang teguh) kepada WAHYU ALLAH serta berpandu kepadanya.
Sebaliknya kaum bangsawan dan gulungan pemerintah dengan susunan pemerintahan bangsa Rum dan Farsi dan lain-lain kuasa dunia pastinya terdiri dari ahli berbagai ilmu siasah keduniaan, tetapi semuanya berakhir untuk menghancurkan negara dan rakyat, mereka penuh dengan sifat angkuh dan zalim, penuh dengan penipuan dan pelaku ma'siat, pemabuk, penindas dan pembunuh. Berbeza dengan ketua dan pemimpin muslimin yang senantiasa disirami Wahyu dan ajarannya, dengan perbezaan antara bumi dan langit.
Lihatlah contoh pimpinan Al-quran pads firman Allah berikut ini:-
"Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal saleh dikalangan kamu (iaitu) sesungguhnya DIA akan jadikan kamu khalifah (wakil Tuhan) dimuka dunia ini, sepertimana Ia lantik menjadi khalifah mereka yang terdahulu dari kamu, dan sesungguhnya Ia akan meletakkan kedudukan agama mereka ditempat yang diredhainya bagi mereka, dan Ia akan menggantikan sesudah mereka dalam kebimbangan menjadi aman sentosa, mereka tetap mengibadati Aku dan tidak sedikitpun mereka melakukan syirik terhadap Aku, tetapi sesiapa yang kufur maka orang-orang itu merekalah sebenarnya fasiq. (An Nur:55)
Dan Alquran memberi contoh pemimpin yang bukan Islam yang dididik oleh kuasa Rum dan Farsi yang penuh dengan Taghut dan Syetan, ialah:-
"Dan manakala ia keluar sendirian, ia mula berusaha diduia ini untuk melakukan durjana sambil membinasakan kaum perempuan dah keturunan manusia, dan Allah tidak suka kepada kebinasaan. (Al Baqarah:205)
Pemimpin dan ummat Islam yang berjaya itu semuanya disebabkan mereka membaca Al-quran dengan kefahaman yang mendalam, mereka membacanya dalam sembahyang fardhu dan Tahajjud serta membacanya sepanjang waktu dengan penuh minat dan teliti serta penuh keimanan yang dengan itu mereka diangkatkan darjatnya, dibersihkan diri dan jiwa nya dari segala khurafat keberhalaan yang hina, lalu hidup segala yang mati dan bergerak semua yang beku dan aktif segala yang lemah, mereka mendapat kemudahan dengan pimpinan Al-quran untuk mengendalikan dunia.
Tetapi beberapa kurun terakhir ini sebahagian besar ummat Islam telah meninggalkan Al-quran kerana iman mereka lemah, mereka tidak mengerti lagi isi Kitab Agung itu, kiblat ilmu mereka berpindah ke Timur dan ke Barat, dianggapnya Al-quran itu kitab keramat yang disuarakan dikubur dan menjadi kitab azimat, maka kerana itu beralehlah semula kuasa dan kekuatan mereka kepada Kristian, Yahudi dan Majusi, duduklah mereka dibawah kekuasaan dan pemerintahan mereka, terbenamlah ummat Islam didalam pentadbiran siasah, sosial, sistem ekonomi, pelajaran dan kebuda yaan kaum kafir itu.
Untuk menebus dan menyelamat ummat Islam dan untuk menyelamatkan kita semua tidak ada pilihan lagi bagi kita kecuali hanya satu (tidak ada duanya) iaitu wajiblah kita kembali kepada Al.-Quran, mulakanlah penerapannya agar pimpinan cahaya Al-quran itu menyinari kita semua seperti yang dilakukan pemimpin Islam yang Salihin dahulu. Mulai dari sekarang iaitu dari awal kesedaran ini setiap muslim wajib mempelajari kandungan Al-quran dari permulaannya hingga mencapai kemahiran, maka dengan itu akan lahirlah jiwa-jiwa besar yang akan mengamal dan melaksanakan ajaran dan panduan Al-quran yang amat agung ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan