Membaca tulisan Zamihan Mat Zin dalam Utusan Malaysia 12 Februari lepas (tahun lalu) membuatkan banyak pihak berasa gerun. Bukannya gerun dengan golongan tabdi' yang beliau perkatakan itu tetapi gerun dengan pemikiran yang cuba dibawa oleh Zamihan.
Sebagai seorang yang menyandang jawatan di Jakim, sudah tentulah pendapat beliau mewakili jabatan tersebut sekali gus mewakili suara Kementerian dimana Jakim dibawah naungannya.
Mengapa gerun ? Mudah sahaja .Kerana beliau mengajak umat islam melangkah ke belakang. Ketika banyak pihak sedang berteka-teki mengapa Jakim lesu dan tidak bermaya, tulisan Zamihan telah menjawap segala-galanya.
Jakim sudah berubah daripada sebuah jabatan yang memikirkan kemajuan pemikiran umat Islam dan juga membentuk agenda melahirkan Muslim agresif kepada institusi pondok yang jumud.
Bagi sesiapa yang pernah mendengar ceramah Zamihan diserata Malaysia, tanggapan majority rakyat Malaysia terhadap kelesuan Jakim akan terjawab.
Melalui tulisan Zamihan, ternyata kini Jakim hanya menjadi pejuang isu cabang dan furuk. Mereka mewajibkan umat islam bertaklid dan taksub kepada mazhab Shafie semata-mata.
Mereka juga mewajibkan amalan yang hanya dianggap sebagai adat dan bukannya kefarduan seperti bacaan Yasin, tahlil dan talkin. Mereka juga menolak kajian dan buku Islam moden dan mengagung-agungkan kitab pondok.
Mereka menolak pemikiran Islam yang progresif dan ilmiah, sebaliknya mereka mewajibkan umat islam bersikap jumud dan taklid buta. Tulisan Zamihan dan juga ceramah beliau telah membuktikannya.
Tatkala, para ulama sedunia telah maju dari segi pemikiran dan membuat kajian kontemporari, Zamihan yang mewakili Jakim menyeru umat islam agar bersikap taksub mazhab. Ketika umat Islam muncul dengan Akademi Fiqh Sedunia yang meraikan semua mazhab serta menghasilkan fatwa berkaitan isu kontemporari, Zamihan yang mewakili Jakim mengharamkan penyelidikan Islam di Malaysia bertaklid kepada kitab tua dan kuning.
Alangkah pelik, kitab kuning yang ditulis pada kurun ke-17 dan 18 Masihi hendak diwajibkan keatas umat Islam moden.
Isu DNA, pengklonan, perpaduan kaum, intergrasi nasional, media, hiburan, sains, ICT dan 1001 perkara lain pada zaman ini tidak disentuh dalam pengajian kitab tua.
Umat islam yang dilabel sebagai penganas diseluruh dunia sepatutnya bangkit untuk memperbaiki imej tersebut. Namun bagaimanakah mereka hendak bangkit jika pemikiran mereka masih jumud, taksub dan juga berfikiran tertutup.
Nasihat saya kepada Zamihan dan Jakim, berikan peluang kepada minda anda untuk mendengar pendapat orang lain.
Cubalah bersikap terbuka dan berfikiran moden sesuai dengan zaman yang anda tinggal.
Kita amat gerun, ketika umat Islam semakin maju dalam bidang teknologi dan pemikiran, Jakim semakin ke belakang.
Apakah dengan prestasi sebegini Jakim boleh diharapkan untuk memandu projek IslamHadhari? Apakah Islam pondok dan taksub yang ingin dipromosikan oleh Zamihan dan Jakim?
Sebagai salah seorang professional Muslim yang inginkan Islam dihormati diMalaysia, saya merasa amat bimbang dengan perkembangan ini.
Sudah tiba masanya untuk para ulama diMalaysia untuk berfikiran terbuka, moden, progresif dan menjauhi taksub dan jumud.
DR HAKIM IHSAN,
0 ulasan:
Catat Ulasan