DEBAT 1
Pada Rabu 15 Januari 1958 Ustaz Hashim Ghani bersama dengan Ust. Abdul Malik Hussin dan 4 pengikut yang lain telah dipanggil ke Pejabat Ugama Islam Negeri Sembilan, Seremban dan memberikan keterangan berhubung dengan perkembangan Gerakan As Sunnah. Saya catitkan butir perbahasan tersebut sebagai bahan sejarah dalam perkambangan Gerakan As Sunnah di negara ini.
Pada hari Rabu 15 Januari 1958 En. Hashim A. Ghani dan En. Malik Bin Husin telah dipanggil oleh Tuan Haji Othman bin Taat, Yang Di Pertua Hal Ehwal Ugama Islam N. Sembilan ke Pejabat Ugama Seremban kerana memberi penerangan dan penjelasan berkenaan dengan mendirikan sembahyang Jumaat yang berasingan dari Masjdi Ranjau Hantu (Sekarang Masjid Kg. Parit) Kuala Pilah.
En. Hashim dan En. Abdul Malik Husin serta 4 orang pengikutnya yang lain telah hadir di Dewan Pejabat Ugama itu pada jam 10.20 pagi dengan dinanti oleh seramai lebih kurang 40 orang yang terdiri dari 18 orang kadi-kadi, inspektor zakat dan alim-ulamak N. Sembilan.
Majlis telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Othman Taat sendiri dan diapit oleh Mufti Kerajaan N. SembilanTuan Hj., Ahmad bin Hj. Said. Pengerusi membuka majlis dengan menyatakan bahawa ada pengaduan dari Kuala Pilah dan terus meminta pihak yang dipanggil memberikan penjelasan.
Hashim Ghani: (Kemudian ini HG): Assalamualaikum wbt. Saya dari Kuala Pilah terlebuh dahulu mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Di Pertua Jabatan Ugama Islam N. Sembilan kerana jemputannya untuk saya dan rakan saya buat memberi penerangan dan penjelasan di hadapan Yang Di Pertua atas perkara perkara yang terjadi di Kuala Pilah, yang mana saya percaya tidak akan tersembunyi disisi tuan-tuan yang hadir pada hari ini, disamping itu saya juga terlebih dahulu meminta maaf kepada Yang Di Pertua dan juga Sahibul Fadhillah Mufti N. Sembilan atas sekiranya ada diantara penerangan yang akan saya lafazkan nanti tidak bersesuaian pada sisi tuan-tuan yang hadir. Maka sekarang Yang Di Pertua saya akan menerangkan perihal masalaah yang dikehendaki saya menerangkan itu:-
Tuan Yang Di Pertua ! Bahawa masaalah yang berlaku di Kuala Pilah itu adalah timbulnya dari suatu keyakinan atas ideologi yang berpandukan Qur’an dan Sunnah Rasul saw yang telah berjalan dikalangan kami sejak lebih kurang 10 tahun yang lalu. Keyakinan ini bukanlah diamalkan oleh orang perseorangan, tetapi oleh suatu golongan yang bukan sahaja terdiri dari kami di Kuala Pilah, bahkan keyakinan ini sedang dianut oleh segolongan besar ummat Islam yang berada di Malaya ini. Tegasnya kami adalah suatu golongan yang berpegang kepada Al-Qur’an dan Sunnah Rasul yang sahih sahaja.
Maka dengan keyakinan yang diterangkan itu, Yang Di Pertua! berertilah kami tidak mengambil dalam perkara-perkara ibadat antara kami dengan Allah lain dari dua sumber yang saya terangkan tadi, dan kami tidaklah menganut sebarang Mazhab seperti yang biasa dianut oleh orang-orang Islam di negeri ini, kerana kami dapati dalam keterangan Qur’an dan Hadits supaya kami berbuat demikian.
Manakala kami telah mempunyai keyakinan seperti yang saya nyatakan itu maka berbezalah cara-cara kami melakukan ibadat dengan saudara-saudara kami yang bermazhab, dan manakala terjadi demikian itu mulalah segala tuduhan yang membingitkan telinga dilemparkan keatas kami, kami telah menerima segala cacian dan celaan yang bukan-bukan, iaitu kami dituduh Kaum Muda, Wahaby dan berbagai lagi yang tidak sedap kami dengar.
Tuan Yang Di Pertua! Setelah saya terangkan keyakinan-keyakinan kami tadi, maka inilah saya nyatakan pula bagaimana masaalah perasingan kami dalam melakukan Ibadat Jumaat daripada Masjid Ranjau Hantu ke sebuah Madrasah yang kami bina sendiri sekarang ini. Tuan Yang Di Pertua! Adapun sebab dan puncanya kami mengasingkan diri mendirikan Jumaat ialah kerana memelihara keamanan dan ketenteraman dalam negeri ini dan mengelak dari sebarang pertengkaran dan perselisihan yang mungkin berlaku, kerana dengan keyakinan kami itu sudah barang tentu tidak akan mendapat persesuaian dalam perkara Ibadat.
Saya menerangkan kepada Yang Di Pertua bahawa dalam bulan April 1954 kami telah mengadakan pelajaran berkala waktu malam di Masjid Ranjau Hantu itu, dan sebagai biasa kami adalah sama-sama berjamaah dengan orang yang bermazhab dan kami telah berusaha memakmurkan masjid itu dengan cara membersih, membina sebuah jambatan, membeli apa-apa alat yang diperlukan, begitu juga kami telah membelikan sebuah buku Kuthbah ‘Asiyah karangan Tuan Abu Bakar Ash’ary guna dibacakan supaya sesuai dengan keadaan masa, kerana kami sedar bahawa masjid itu kami yang punyai. Tetapi alangkah malangnya bahawa segala jasa baik kami telah dibalas dengan berbagai keburukan.
Buku kuthbah yang kami beli itu telah dicuri dan dilenyapkan tetapi kami dapat riseknya bahawa buku itu telah dihantar ketangan kadzi Kuala Pilah, dan manakala saya tanyakan kepada Tuan Kadzi pada 9.6.54 ia menyatakan telah dihantar kepada Tuan Mufti N. Sembilan.
Saya telah mengajar di Masjid ini dan juga di Madrasah Ittiba’ Us Sunnah yang ada sekarang, tetapi kepada saya telah diberi tahu bahawa aduan-aduan telah disampaikan kepada tuan Kadzi Kuala Pilah mengatakan bahawa pengajaran saya salah dan tauliyah saya tidak membenarkan. Sementara itu saya telah juga memohon suatu tauliyah yang membenarkan saya mengajar Qur’an dan Hadits, tetapi saya telah dipanggil oleh tuan Kadzi Kuala Pilah dan dihadapkan dengan 6 orang ulamak di Pejabat Kadzi Kuala Pilah, disana saya telah jelaskan pendirian saya yang sebenarnya dan menjawab segala masaalah yang dihadapkan kepada saya pada 5 Ogos 1954.
Perkara tauliah itu, menurut surat kadzi yang ada disimpanan saya bertarikh 7 Jun 1954 dan telah diambil oleh Naib Kadzi Husin bin Matsom dengan alasan hendak dibaiki, tetapi selang beberapa hari sesudah itu tuan Kadzi tersebut memberitahu orang ramai bahawa tauliyah saya telah dirampas dan dibatalkan. Saya tidaklah bertanyakan hal itu kerana saya tahu bahawa Tauliah itu adalah dianugerahkan oleh DYMM Yang Di Pertuan Besar N. Sembilan (Almarhum-P) dan tidaklah pernah saya menerima suatu pembatalan daripada baginda sendiri. Yang demikian saya menganggap saya masih mempunyai tauliah dan saya berterima kasih kepada Jabatan Ugama yang telah menyimpankan tauliah saya itu.
Kami mengadakan sambutan dan syarahan agama di Masjid itu pada malam hari (22-5-54 -P) rupanya hal kami telah diadukan kepada Kadzi Kuala Pilah dan Mufti N. Sembilan oleh Haji Harun Imam Masjid itu, yang akhirnya kami telah disiasat oleh pihak polis yang datang ke Madrasah kami.
Bukan itu sahaja, malah selain itu tuduhan dan cacian bukan sedikit yang dilemparkan kepada kami
Apakah erti semuanya ini, Yang Di Pertua! Maka kami sebagai seorang manusia dsn berperikemanusiaan tentulah tidak selayaknya dilemparkan berbagai kekotoran keatas kami, tuan-tuan juga sebagai seorang manusia tentu akan merasai panas hati jika dibuatkan orang sedemikian. Akan tetapi kami yang engamalkan Kitab Allah dan Rasul adalah bersikap sabar atas apa-apa jua yang mengenai kami, kami tidak akan berbuat balasan malah segala apa yang kami rasai itu tidak kami membuat pengaduan kesana kemari.
Maka dengan kejadian-kejadian yang berkaitan dengan masyarakat itulah kami membuat sikap menarik diri mendirikan Jumaat berasingan, sebagai langkah bagi mengelak perselisihan dan pergaduhan.
Selain dari itu Yang Di Pertua, inilah saya terangkan sebab-sebab yang lain pula menurut faham kami yang berpegang dengan Qur’an dan Sunnah Rasul, iaitu:-
Adapun cara-cara ibadat kami adalah berbeza dengan apa yang telah diamalkan oleh pengikut-pengikut mazhab seperti apa yang saya katakan tadi, kerana kami hanya mengamalkan apa yang diperintahkan dan diakui oleh Sunah Rasul sahaja dan kami tidak diperintahkan supaya bertaqlid kepada seorang Imam Mazhab. Oleh itu jika kami dapati ada orang yang mengamalkan Ibadat selain daripada perintah atau dilakukan Rasul, maka kami adalah memandangnya Bid’ah, sedang tiap-tiap Bid’ah itu sesat, dan tiap-tiap kesesatan itu kedalam neraka.
Maka menurut pendapat kami bahawa ibadat Jumaat yang didirikan di Masjid itu banyak dicampuri dengan perkara perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah dan Sahabat-sahabatnya begitu juga Imam-imam yang Empat. Kami dapati perkara perkara ibadat disitu bercampur gaul dengan bid’ah dari sejak mengambil air sembahyangnya sehinggalah sesudah salamnya, seperti membaca ussali, azan dua kali, membaca Yaa Ma’assiral Muslimin, menaikkan imam, cara-cara kuthbah dan sebagainya.
Yang demikian timbulkan suatu perasaan menurut keyakinan kami bahawa sembahyang kami tidak diyakini sahnya, dan manakala kami merasa tidak sah sembahyang tentulah kami berikhtiar bagi melangsungkan cara ibadat kami dengan sah, kerana kami hendak melakukan ibadat dengan bersih yang tidak dikotori oleh sebarang bid’ah. Kami tidak berkehendak menerbitkan pergaduhan tentang itiqad kami ini, oleh itu kami telah mengambil sikap berasingan dalam ibadat Jumaat ini ditempat yang kami pandang bersih iaitu di Madrasah yang ada itu, yang mana menurut pendapat kami atas dasar Qur’an dan Hadits boleh kami dirikan Jumaat dimana-mana jua di bumi Allah ini, kerana firman Allah di surah Al-Jum’ah itupun tidak menentukan orang mendirikan jamaah Jumaat ditempay tertentu dan berapa bilangannya.
Seperkara lagi yang patut kami terangkan bahawa masjid yang ada sekarang ini amatlah mendukacitakan, kerana pada faham kami bahawa amatlah jahatnya perkerjaan mengunci Mesjid Allah. Maka Masjid itu sebilang masa berkunci kecuali pada masa mendirikan Jumaat sahaja. Tidakah telah Allah terangkan dalam Al-Qur’an : … dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang menegah masjid-masjid Allah bahawa diperingatkan nama Allah didalamnya dan ia berusaha pada meruntuhkannya…”. Kami sekarang menjadikan, kami dirikan sembahyang pada hari dan malamnya dan juga sembahyang Jumaat.
Yang Di Pertua, maka dengan perkara-perkara yang saya terangkan itu, nyatalah bahawa saya dan orang-orang yang sefaham dengan saya tidak mendapat persesuaian dalam mendirikan ibadat, yang demikian kami menarik diri bagi mengelak dan menjauhkan sebarang pergaduhan dan perselisihan dengan tujuan hendak menjaga keamanan dan ketenteraman dalam negeri ini.
SOAL-JAWAB MENGENAI JUMAAT
Pengenalan:-
(HG) Hashim Ghani
(M) Mufti N. Sembilan
(YDP) Yang Di Pertua J/Ugama
M : Tuan Hashim menerangkan mengikut Al Qur’an, maka mengikut Qur’an dan Kitab-kitab yang Mu’tabar bahawa nyatalah perbuatan tuan telah keluar dari perpegangan yang sah. Rasul tidak pernah mendirikan dua Jumaat dalam satu tempat, dan menurut kitab-kitab Imam Syafie pendirian Tuan Hashim dan sahabat-sahabat tuan ini tidak sah, mengapa tuan berani keluar dari perpegangan Ulamak-ulamak itu?
HG : Yang Di Pertua! Saya adalah mengormati pentanyaan Tuan Mufti N. Sembilan itu, maka bagi menjawabnya saya nyatakan bahawa di zaman Rasulullah orang tidak perlu mendirikan berbilang Jumaat kerana Rasul ada bersama mereka, akan tetapi mengikut perkembangan Islam yang telah meluas keseluruh dunia sekarang, tentulah mereka mustahak mengadakan tempat-tempat ibadat atau masjid mereka dimana-mana yang mereka kehendaki menurut keramaian orang, apa lagi dengan berlainan faham maka sudah tentu mereka mendirikan ibadat menurut keterangan mereka masing-masing. Yang kedua kami tidaklah pernah merendahkan dan menghina pendapat Imam-imam dan Ulamak dahulu, akan tetapi kami hanya tidak diperintahkan bertaqlid dan menurut sahaja segala pendapat mereka.
YDP : Jadi menurut pendapat En. Hashim, bolehkah kita mendirikan masjid dan berjumaat walaupun bersempadanan pagar?
HG : Walaupun bersempadanan pagaran.
M : Dalam kitab Mazhab Syafie umpama Taufah dan Nihayah, maka nyatalah Tuan Hashim telah keluar dan tidak memakai kitab ini, padahal ulamak-ulamak yang besar-besar tidak ada membantah kitab ini. Dengar saya baca “…” Maka menurut kitab ini bahawa kitab Tuhfah dan Nihayah adalah benar dan bersih dari bantahan…, beribu-ribu ulamak yang mengakui kitab ini, maka kenapa tuan tidak memakainya?
HG : Tuan Mufti! Kami yang berpegang dengan Qur’an dan Sunnah tidak pernah mendapati dalam pelajaran kami supaya kami beriman dengan Kitab Tuhfah dan Nihayah, melainkan kami diperintahkan beriman dengan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya sahaja, tidak lain dari itu, jika benar seperti kata Tuan Mufti bahawa kitab Tuhfah dan Nihayah itu diakui kenapakah terbit mazhab yang lain? Sepatutnya semua orang Islam didunia ini hendaklah memasuki Mazhab Syafie sahaja dan memakai kitab Tuhfah dan Nihayah sahaja, tetapi kenapa tidak begitu?
M. Apa pandangan tuan, bahawa ada beriburibu ulamak yang mengambil mazhab dan mengikut Kitab-kitab Mazhab (Syafiei) ini, adakah mereka itu semuanya sesat?
HG. Saya tidak menjawab dan membalas pertanyaan ini, tetapi saya bertanya kepada tuan Mufti, apakah halnya pula beribu-ribu ulamak sebelum adanya mazhab dahulu? bukan Islamkah mereka itu? Atau adakah mereka bermazhab Syafiei? Maka sekarang saya berharap tuan Mufti membawakan keterangan dari Quran dan Hadits atau dari Imam Syafiei sendiri iaitu menyuruh ummat Islam bertaqlid dan mengambil sebarang
mazhab? Dan manakah yang lebih mulia Quran dan haditskah atau Kitab Tuhfah Nihayah?
M. Tidak menjawabnya.
Y. Jadi menurut penerangan Che Hashim berertilah sekarang tuan dan golongan tuan telah keluar dari mazhab Syafiei dan tidak memakai sebarang mazhab yang empat!
HG. Tuan Yang Dipertua! Kami tidak keluar dari mazhab Syafiei, kerana kami tidak pernah masuk kedalamnya, tapi kami tidak menganut sebarang mazhab kerana kami tidak diperentahkan berbuat demikian.
M. Saya minta tuan Hashim menerangkan, kenapa tuan dan golongan tuan merendahkan dan dan mencaci ijtihad ulamak-ulamak dan Imam Syafiei?
HG. Tuan Mufti NS! Saya bertanya kepada tuan Mufti, bahawa dalam masaalah apakah yang tuan dapati kami mencacinya, kerana kami tidak ada mencaci dan merendahkan Imam-imam yang mujtahid itu, harap tuan mufti beri penerangan.
M. Tidak menerangkan, tetapi melanjutkanpertanyaan.
M. Sudahkan tuan hafaz Quran 30 juzuk dan hafaz beribu-ribu hadits maka tuan hendak keluar dari mazhab?
HG. Tuan Mufti NS! Orang-orang- yang hendak beriman dengan Allah dan RasulNya tidaklah terhenti dengan hafaz Quran 30 Juzuk dan hadits beribu-ribu baharu akan beriman, bahkan Allah dan RasulNya tidak membuat peraturan demikian.
M. Beribu-ribu ulamak yang besar semuanya memegang mazhab, maka kenapa tuan tidak berbuat saperti mereka itu?
HG. Tuan Mufti NS! Walaupun sebuah dunia ini orang berbuat demikian, tapi jika Allah dan RasulNya tidak perintahkan demikian maka kami tidaklah akan menurutinya.
UCAPAN DAN BIDASAN PEMERHATI:
HAJI OTHMAN B.TALIB REMBAU: Orang-orang yang bersepaham dengan Tuan Hashim ini adalah Kaum Muda, Wahaby, faham ini telah merebak dimerata Negeri ini, mereka inilah orang Khawarij, adakah patut kita biarkan merebak? Atau kita hapuskan, saya harap Pejabat Ugama hendaklah menghapuskan faham ini, kita tidak fikir Syafiei itu membuat silap, kita diperentahkan mengikut Mazhab, lihatlah Firman Tuhan — Fas-alu ahlaz zikri … kalau tuan Hashim dan golongannya benar, cuba jawab!
HAJI OMAR SRI MENANTI (INSPECTOR ZAKAT: KUALA PILAH): Jum’at disurau itu tidak jauh dari Masjid hanya 1 batu sahaja, Cik Hashim ada menerangkan dalilnya ayat Quran, saya mahu bertanya, adakah ini menunjukkan sahnya atau wajibnya, kami berpendapat bukan menunjukkan sahnya tetapi wajibnya, minta Cik Hashim jawab.
HJ. NORDIN BIN MANAF NAIB KADZI SEREMBAN: Saya berpendapat mendirikan Jum’at diSurau itu tentulah tidak ada alasan, tuan Mufti telah terangkan tidak boleh Jum’at dua tempat dalam satu Karyah, walhal dia membuat dengan alasan kerana muslihat diri. Pada fikiran saya, ikutlah perjalanan yang telah dibuat oleh orang-orang dahulu, kerana kita tidak berapa kerat sahaja yang hafaz Quran, kerana ada Hadits … Fa kullun min man fi-ittibaa-i ilkhalaf, jangan keluar dari itu.
JAWAPAN UNTUK SEMUA:
HG: Yang Dipertua! Bahawa kami tidak akan melayan pertanyaan-pertanyaan yang telah lalu itu, kerana kami dipanggil hanya untuk membuat penerangan, dan saya menjawab soalan tuan Mufti NS itu adalah kerana menghormati fikirannya, harap maklum.
KEPUTUSAN JABATAN UGAMA (DI DEWAN):
Tuan Hj. Othman bin Taat berkata: sekarang cukuplah kita mengadakan majlis ini dan saya nyatakan bahawa saya telah menerima pengaduan (Hj. Harun) dari Kuala Pilah, dan sekarang sudahlah saya dapat tahu dengan jelasnya, dan baharu saya tahu pendirian Cik Hashim yang sebenarnya iaitu:-
Tuan dan golongan tuan telah keluar dari Mazhab Syafiei dan tuan-tuan tidak memakai salah satu dari Mazhab yang empat.
Sembahyang di Madrasah itu belum mendapat kebenaran, dan Tauliyah tuan ada ditangan Kadzi.
Maka sekarang kita mengambil keputusan iaitu menurut kuasa yang diberi kepada saya oleh Tuanku dan Undang, yang mana Negeri Sembilan ini mempunyai undang-undang Ugama yang bermazhab Syafiei, iaitu:
Mazhab di Negeri Sembilan ini ialah Syafiei, maka menurut undang-undangnya sembahyang di Madrasah itu tidak sah, kerana tidak boleh didirikan Masjid yang kurang dari 2 batu.
Tauliyah tuan akan ditanya kepada Tuanku, dan harus akan diambil kembali.
Tuan tidaklah dibenarkan mengajar.
PERINGATAN:
Ustaz Malik Bin Hussin tidak dibenarkan berucap,
En. Hashim membuat penerangan hanya sebahagian sahaja, En. Hashim telah menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan itu. Majlis dimulai jam 10.30 hingga 11.45 pagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan