Khamis, 31 Disember 2009

SOKONGAN KEPADA MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB

Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah menyebut di dalam satu seminar memperingati Syeikh Mohd al-Ghazali di Amman, Jordan beberapa tahun yang lalu “orang-orang Islam tidak menghargai tokoh-tokoh mereka”.

Ini ditimbulkan ketika mengulas betapa ramainya ulama dan tokoh dakwah Islam yang tidak terlepas daripada fitnah dan cercaan umat Islam sendiri.

Di antara ulama yang sering menjadi bahan fitnah musuh ialah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Malangnya, kalangan umat Islam yang jahil terpengaruh dengan dakyah yang palsu itu lalu turut sama mencercanya tanpa sebarang pengetahuan tentang perkara yang sebenar.

Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Abdul Wahab bin Sulaiman bin Ali at-Tamimi al-Hambali an-Najdi. Dilahirkan pada tahun 1115 H (1701 M) di ‘Uyainah. Beliau menghafaz Quran sebelum berusia 10 tahun dan mempelajari fiqh mazhab Hanbali, tafsir, hadis dan ilmu lain dari bapanya. Beliau amat tertarik dengan penulisan dua orang tokoh iaitu Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibn al-Qayyim (Kedua-keduanya bermazhab Hanbali).

Seterusnya beliau telah mengembara menuntut ilmu seperti ke Mekah, Madinah, Basrah, Baghdad, Hamazan dan Asfahan. Guru-gurunya ialah Syeikh Abdullah bin Ibrahim, Syeikh Ismail al-Ajlouni. Syeikh Ali Afandy ad-Daghastani dan Syeikh Muhammad Hayat as-Sindi.

Sekembalinya dari pengembaraan didapati perkara-perkara syirik, mungkar, khurafat dan bidaah begitu berleluasa di dalam masyarakat. Di Madinah, beliau telah mendengar ramai orang beristighasah (mohon petolongan ) daripada Rasulullah saw dan bukannya daripada Allah Taala.

Beliau lantas bertanya kepada gurunya iaitu syeikh Muhammad Hayat as-Sindi berhubung dengan hal itu. Jawab gurunya : Sesungguhnya celakalah mereka itu dengan apa yang mereka lakukan .

Di Najd pula, beliau mendapati ramai di kalangan masyarakatnya yang sering berulang alik ke kuburan untuk memohon hajat. Di al-Jubailah, masyarakat di situ telah membina sebuah kubur yang kononya milik Yazid bin al-Khattab saudara kandung Umar al-Khattab yang syahid di medan al-Yamamah.

Mereka memohon hajat di kubur tersebut sedangkan kubur itu sendiri tidak dipastikan siapakah penghuninya kerana ramai lagi tentera Islam yang terkorban bersamanya. Manakala perbuatan membina binaan pada kubur adalah di haramkan oleh syara` dan berdoa kepada selain daripada Allah adalah syirik.

Sementara itu di al-Mantahah pula masyarakat di sana telah bertawaf dan bertawasul serta memohon hajat khususnya tentang hal perkahwinan kepada sebatang pokok tamar jantan. Mereka yang belum berkahwin akan berkata: Wahai bapa segala pokok (pokok tamar jantan), saya ingin berkahwin sebelum cukup tahun. Di beberapa tempat lain terdapat suatu kebiasaan masyarakat berkunjung ke gua-gua dan makam-makam yang di sangka keramat untuk bermunajat, membayar nazar, memohon pertolongan dan sebagainya .

Demikianlah kesyirikan dan kemungkaran yang amat nyata. Seorang yang beriman kepada Allah pasti akan berusaha menghapuskan perkara-perkara tersebut. Sebaliknya di kalangan yang mengaku Islam tetapi masih mempercayai bahawa berdoa kepada Nabi, para auliya`, kuburan,pokok kayu dan seumpamanya adalah di benarkan, tiada alasan lain yang dapat diberikan melainkan sama ada dia jahil, berkepentingan peribadi ataupun memang musyrik yang bertopengkan Muslim.

Lantaran kemungkaran yang bermaharajalela itu, beliau telah mula mengorak langkah menyebarkan risalah dakwahnya, beliau berjalan di atas manhaj ulama` salaf di dalam mesej akidahnya. Ini boleh di dapati di dalam penulisan-penulisannya. Malang sekali kalau ada yang menuduhnya sesat, sedangkan sang penuduh itu tidak mampu membaca tulisanya kerana di dalam Bahasa Arab.

Dua asas penting yang ditekankan di dalam aqidah :

Pertama: Tauhid yang murni tanpa sebarang penyelewengan.

Kedua: Memerangi Bidaah.

Beliau berpegang teguh bahawasanya halal dan haram sesuatu perkara hanya boleh diambil dari kitab Allah dan Sunnah Rasulullah sebagai penjelasanya.

Adapun pendapat Mutakalimin, fuqaha` atau siapa saja bukanlah hujah selama mana dia tidak berdasarkan dua sumber ini. Beliau juga berpendapat bahawa pintu ijtihad belum tertutup dan mengharuskannya bagi sesiapa yang memiliki keupayaan tersebut.

Beliau berpendapat bahawa menziarah kubur Auliya` lalu bertawasul kepada mereka akan merosakkan tauhid kepada Allah. Ia sebahagian daripada syirik.

Ketegasan beliau dalam menyampaikan risalah ini banyak dipengaruhi oleh gaya dan manhaj Ibnu Taimiyah dan ulama-ulama mazhab Hanbali sebelumnya. Cuma beliau agak lebih keras dari Ibnu Taimiyah dalam beberapa perkara.

Di antara perkara yang diharamkan ialah menghisap rokok, yang mana terdapat juga manusia yang dianggap ulama pada masa itu yang menghisap rokok termasuklah Syeikh Ahmad Zaini Dahlan. Justeru, tidak pelik jika berlaku pergeseran di antara mereka, tetapi sayang apabila sumber maklumat kurang, ada yang menghukum tanpa usul periksa.

Sekiranya Ibnu Taimiyah banyak menjadikan penulisan sebagai alat perjuanganya, beliau pula telah bekerjasama dengan penguasa yang ada lalu menggunakan kuasa ketenteraan.

Yang paling bekerjasama ialah Syeikh Ibnu Sa`ud penguasa Dar`iyah sehingga terbentuknya kerajaan Arab Saudi hingga sekarang. Sungguhpun menggunakan kekerasan, dakwah ini mula diterima ramai melainkan puak-puak yang berkepentingna misalnya puak Badwi yang banyak mengamalkan perkara-perkara karut, serta penguasa-penguasa dan ulama yang mula kehilangan pengaruh. Lantaran itu, aduan-aduan palsu di hantar ke pihak Khilafah Uthamaniyah kononnya gerakan Muhammad Bin Abdul Wahhab ini menjalankan kegiatan subversif menentang khalifah.

Pentadbiran khalifah sendiri pada waktu itu sudah mula lemah dan gerakan perkauman Turkiyyah Tauraniyyah yang anti Arab telah mula menguasai kerajaan. Retak menanti belah, hasil fitnah itu berlaku beberapa pertempuran antara dua pihak.

Jadi gerakan Muhammad Bin Abdul Wahhab bukan sengaja keluar dari khilafah, sebaliknya terdapat faktor-faktor lain yang menyumbang ke arah itu. Tidak tepat kalau gerakan itu di tuduh Asobiyyah atau mazhab baru, ia hanya garakan islah yang akhirnya berjaya menubuhkan daulah.

Kata Muhammad Qutb: Ketika orang membicarakan tentang kehilangan khilafah Islamiyah di Turki mereka lupa kewujudan negara Islam di Arab Saudi pimpinan Muhammad Bin Abdul Wahhab.

Merujuk kepada tohmahan-tohmahan yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadapnya. Antara yang sering di ungkit ialah kononnya guru beliau iaitu Syeikh Sulaiman al-Kurdi dan Syeikh Hayat as-Sindi telah berfirasat yang syeikh Muhammad Bin Abdul Wahhab akan di sesatkan oleh Allah dan akan sesatlah pengikut-pengikutnya.

Pertamanya, para penuduh sebenarnya hanya menyalin balik apa yang telah ditohmahkan oleh seorang penulis yang tidak di ketahui asal usulnya bernama Jamil Afandi Sidqi az-Zahawi, lalu di alam Melayu di dapati Sirajuddin Abbas di dalam bukunya Ahli Sunnah wal Jamaah mengungkitkan perkara yang sama, selanjutnya diteruskan oleh beberapa individu secara taqlid buta yang keji.

Walaupun Nabi saw di dalam sebuah hadis ada bersabda: Takutlah kepada firasat mukmin, kerana ia memandang dengan pandangan Allah”. Apakah dalil yang dapat membuktikan bahawa kedua-dua guru kepada Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahhab ini berfirasat sedemikian?

Sedangkan Syeikh Hayat as-Sindi telah sependapat dengan beliau berhubung dengan kesesatan umat. Mungkin ia hanya fitnah musuh atau mainan syaitan semata-mata? Bagaimana kalau sang penuduh itu di beitahu bahawa seorang soleh atau tuan guru telah berfirasat bahawa dia (si penuduh itu ) dajal akhir zaman ? Bolehkah diterima sewenang-wenangnya ? Fikrikanlah !

Selain itu, di antara perkara yang paling asas bagi orang yang mempelajari syariat Islam ialah sumber istinbat hukum adalah Quran, hadis, ijma`, qias dan beberapa perkara lagi yang diperselisihkan oleh ulama pelbagai mazhab.

Namun tidak ada seorang pun di antara ulama yang menerima pakai ilham, mimpi atau firasat sebagai dalil atau bukti apatah lagi untuk di buat hujah. Kalau ada yang melakukan sebaliknya, itu juhala` bukan ulama.

Berkata al-Imam Hassan al-Banna di dalam kitabnya, Risalah at-Ta`lim pada bab rukun al-Fahm….. “akan tetapi ilham, rasa hati atau kasyaf dan mimpi-mimpi bukan daripada dalil-dalil hukum hakam syar`iyyah…”

Berkenaan penentangan saudara kandungnya iaitu Syeikh Sulaiman Abd Wahab, memang berlaku. Namun penentangan itu sebelum dia mengetahui hakikat perjuangan beliau. Selepas mengetahui kebenaran, Sulaiman menyesal dan menerima perjuagan tersebut. Hal ini dibuktikan dengan penemuan surat-surat berkenaan. Si penuduh mungkin tidak menjumpai bahan bacaan ini.

Berhubung pengaruh Ibnu Taimiyah di dalam manhaj Muhammad Bin Abdul Wahhab, adalah perkara biasa bagi pemikir agung yang mana pemikiranya dicontohi. Apatah lagi mereka sama-sama bermazhab Hanbali, selain beliau ramai lagi ulama terbilang sepanjang zaman yang menjadi murid atau terkesan dengan pemikiran atau manhaj Ibnu Taimiyyah antaranya Ibn al-Qayyim, Ibnu Kathir (pengarang tafsir al-Quran al-Azim yang turut dipelajari di tempat-tempat pengajian yang anti Ibn Taimiyah), Az-Zahabi, asy-Syaukani, syeikh Muhammad Abduh, Rasyid Redha, Bahjah al-Baitar, Amin asy-Syinqiti, Yusuf al-Qaradhawi, Umar al-Asyqar dan banyak lagi ulama-ulama muktabar yang lain.

Dakwaan kononnya Ibn Taimiyyah menyanggahi pandangan jumhur ulama hanyalah dakwaan orang jahil. Sepatutnya si penuduh memberikan contoh fatwa Ibn Taimiyyah yang berkenaan.

Tambahan pula orang yang mempelajari Fiqh Islami pasti tahu bahawa apabila diistilahkan JUMHUR ia bermaksud majoriti bukan seluruh atau ijma`. Maknanya masih terdapat kalangan ulama yang tidak setuju dengan pandangan ini. Ramai tidak semestinya betul, walaupun ia mungkin kuat. Malang kalau ini pun tidak di ketahui.

Kalau celaan dan penghinaan terhadap sahsiah Ibn Taimiyyah hanya berdasarkan pembohongan yang terdapat di dalam kitab Ar-Rihlah karangan Ibnu Bathutah yang kemudiannya diteruskan oleh Sirajuddin Abbas, maka amat malang sekali dunia ilmu umat Islam. Bacalah kitab-kitab Ibnu Kathir, Syeikh Bahjah al-Baithar atau sekurang-kurangnya Tarikh al-Mazahib al-Islamiyah oleh Muhammad Abu Zahrah mudah-mudahan bertambah pengetahuan .

Gerakan Muhammad Bin Abdul Wahhab juga di cap sebagai menurut telunjuk Amerika, kerana kelemahan pentadbiran kerajaan Arab Saudi. Perlu di soal, negeri umat Islam yang tidak Wahabi mana yang tidak menjadi hamba Amerika dan Barat? Negeri kita atau Indonesia? Wahabi atau tidak bukan soalnya. Pokok pangkalnya ialah ketulenan akidah dan iman.

Sebaliknya jika di lihat kepada kajian yang di buat oleh Dr. Nabil at-Tantawi bagi mendapatkan ijazah PHD di Perancis, beliau mendapat ada satu watikah atau nota yang dikirimkan oleh Napoleon kepada Pope di Vatikan, Rome, yang mengandungi laporan gerakan dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Dia menyatakan kebimbangan terhadap gerakan ini dan satu usaha yang berkesan perlu dilakukan bagi mengelak bahaya yang mengancam kepentingan Barat di Negeri-Negeri jajahan mereka. Termasuk di dalam agenda penjajah ialah memburuk-burukkan gerakan Wahabiah.

Sesungguhnya kejayaan gerakan Wahhabiyyah di Najd telah menjadi sumber ispirasi kepada kemunculan gerakan al-Mahdiyyah di Sudan, as-Sanusiyyah di Algeria, Syeikh Abdul Qadir di Syria, Pan Islami tajaan Jamaluddin al-Afgani, Sarekat Islam di Indonesia, Ikhwan Muslimin di Mesir dan Tanah Arab serta banyak lagi harakah Islamiyyah seluruh dunia.

Antara ulama sezaman dan selepas beliau yang terpengaruh dengan manhajnya ialah as-Son`ani pengarang Subulus-Salam, as- Syaukani pengarang Nailul Authar, Sayyid Sabiq pengarang Fiqh Sunnah, Hussin an-Na`imi, Ustaz Bahjah al-Baithar, al-Amir Syakib Arselan pengarang Hadhir `Alam al-Islami, Muhammad Abduh dan muridnya Rasyid Redha pengarang Tafsir al-Manar.

Demikianlah beliau menjalankan dakwah dan jihadnya. Beliau dan pengikutnya bermazhab Hanbali sekali pun terdapat beberapa perbezaan fatwa dalam beberapa urusan. Ini adalah suatu yang biasa di kalangan ulamak muktabar. An-Nawawi meskipun bermazhab Syafie, berbeza pandangan dengan Iman Syafie sendiri dalam beberapa hal contohnya dalam bab Tayammum. Ibn Hajar juga bermazhab Syafie tetapi berbeza pendapat dengan mazhab dalam hal menyapu kepala ketika wudhuk dan banyak lagi.

Ibn Qudamah bermazhab Hambali tetapi adakalanya bersalahan dengan pendapat mazhab. Ibn al-Arabi bermazhab Maliki tetapi berkali-kali menyatakan pandangan yang berbeza dengan mazhab. Abu Hanifah, Abu Yussuf, asy-Syaibani dan Zufar adalah pengasas mazhab Hanafi tetapi tidak sedikit fatwa mereka yang saling bercanggahan. Inilah keluasan ilmu Islam. Dalam situasi ini adakalanya seorang iman itu bersalah dalam pandangannya. Ketika itu pandangan itu ditolak tanpa menjejaskan peribadinya. Tiada yang maksum melainkan Rasulullah s.a.w.

Sekiranya terdapat kritikan yang mungkin wajar dilemparkan terhadap gerakan Wahabi ini ialah kekerasan yang digunakan itu mungkin menyentap banyak pihak. Mereka kurang mementingkan perasaan orang awam. Mereka merobohkan tempat-tempat sejarah umat Islam. Walaupun memedihkan ia perlu dilakukan demi menyelamatkan aqidah umat. Umar al-Khattab sendiri pernah menebang pokok tempat Bai`ah ar-Ridhwan apabila melihat ada yang berkunjung ke situ bagi mendapat keberkatan.

Wahabi membakar kitab Dalail al-Khairat dan Syawariq al-Anwar yang mengandungi pelbagai selawat dan kisah Nabi bukan kerana bencikan Nabi (sedangkan beliau mewajibkan selawat ke atas Nabi di dalam Tasyahhud), sebaliknya untuk menghapuskan pujian-pujian yang melampau terhadap Nabi, yang tidak diajarkan serta kisah-kisah palsu tentang Nabi saw. Ini sangat bertepatan dengan hukum Syara`.

Sebagai penutup, ingin di syorkan kepada musuh-musuh Wahabi agar ingat firman Allah Taala yang mafhumnya

“…janganlah kamu berpendirian dengan apa yang kamu tiada berpengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan di akhirat”.

Sejarah umat Islam dalam era penjajahan sangat kabur. Dalam waktu para ulama memuji Muhammad Bin Abdul Wahhab, banyak juga tulisan yang mencela dan menyesatkannya. Buku-buku celaan ini boleh didapati percuma dari Vakf Ikhlas, Istanbul, Turki. Tetapi apalah faedahnya ?

Jika ragu-ragu dengan sejarah yang di tulis, cubalah timbang kemurnian fahaman Muhammmad bin Abdul Wahhab ini melalui tulisannya yang sangat banyak, antaranya kitab at-Tauhid, Mabadi`al-Islam, Kasyfu asy-Syubahat, Sirah Nabawiyyah dan lainnya. Kalau tidak mampu faham bahasa Arab, yang telah diterjemah pun banyak.

Semoga saudara-saudara semua tidak terkeliru lagi.

(Sumber: http://aris.protajdid.com/)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Al-Miezaan Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template