Rabu, 30 Disember 2009

HASHIM GHANI

RIWAYAT

has101Dilahirkan pada 5hb. Julai 1927 di Kampung Sungai Dua Kecil, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Ibunya bernama Aishah Bte Abdul Wahid seorang wanita desa dan ayahnya bernama Imam Abdul Ghani bin Salam seorang Imam masjid yang terkenal di daerah Kuala Pilah. Mempunyai dua orang isteri bernama Fatimah Jamil dan Halipah Bte Abu Bakar dan mempunyai seramai 8 orang anak. Isteri beliau Halipah Abu Bakar turut membantu perjuangannya dan pernah memenangi pertandingan Syarahan peringat Daerah Kuala Pilah dengan tajuk “Muhammad Iqbal”, dan pernah menjadi tenaga pengajar di Madrasah Ittiba Us Sunnah. Pendidikan awal Allahyarham ialah di Sekolah Melayu Kuala Pilah tahun 1937 dan kemudian memasuki Sekolah Agama Islam The High Islamic School Pelangai Kuala Pilah 1939-1942 iaiatu sebuah sekolah agama yang dikendalikan oleh Muhammad Maadah Bin Layahalipahng seorang Ulamak lulusan Aligrah dan Darul Ulum Universiti di India. Madrasah ini atas bantuan DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad. Sebagai seorang ayah yang sentiasa memerhatikan kedudukan anaknya, beliau telah dihantar pada tahun 1946 ke Madrasah Al Akhlaq Islamiyah Masjid Tinggi, Bagan Serai dan terakhir di Madrasah Al Mashhoor Pulau Pinang dan menamatkan pelajaran pada akhir 1953 dengan pangkat pertama.

Sekembalinya ke Kuala Pilah, maka beliau memulakan kegiatan mengajar dibeberapa buah Madrasah sekitar dan mengasaskan ghanisalam-copyMadrasah Ittiba Us Sunnah di Batu Satu, Kampung Parit, Kuala Pilah sehingga terdirinya bangunan bagi Madrasah itu, beliau terus menyampaikan ilmu pengetahuan Islam kepada Masyarakat tempatan dan meneruskan kelas Pengajaran Menterjemah Al Qur’an dan beberapa ilmu yang lain.

BAKAT SEMULA JADI

Allahyarham juga memiliki bakat semula jadi sebagai pelukis. Beberapa hasil lukisan beliau telah dirakamkan dalam Risalah As Sunnah. Sebagai peminat kepada gerakan pembaharuan yang dibawa oleh reformis dahulu, beliau menghasil lukisan berikut:-

lukisabubakarlukisahmadamin1lukisaqibilukishamkalukismaadah

WARTAWAN

Beliau mendapat dorongan menjadi penulis sejak dibangku sekolah, kemudian menjadi pembantu penulis berita di Akhbar Majlis dan Utusan Melayu dengan Datuk Abdul Samad Idris, dan penulis di Akhbar Berita Harian sehingga tahun 1978.

Beliau menjadi Jawatankuasa ASAS Negeri Sembilan sebuah badan penulis lama Negeri Sembilan dan menjadi Ketua Persatuan Penulis Daerah Kuala Pilah ketika itu.

POLITIK

Pada waktu mudanya beliau adalah seorang yang aktif berpersatuan dan berpolitik dan bergerak cergas bersama-sama tokoh-tokoh tempatan termasuklah Shamsiah Fakih. Pernah menjadi Setiausaha Politik kepada 4 orang wakil Rakyat, wakil peribadi kepada Menteri Kesihatan Dato’ Bahaman Shamsuddin dan Pegawai Akhbar kepada Menteri Besar N. Sembilan.

PENDIRIAN

Oleh kerana Allahyarham menerima latihan dan didikan Islam menerusi pemahaman Kitab Al-Qur’an dan Hadits yang disemaikan oleh Almarhum Maadah Bin Layang dan lainnya, beliau mempunyai pendirian yang sangat tegas dalam perpegangan agama. Beliau pernah dipanggil berhujjah dengan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan 18 orang Kadzi serta beberapa orang ulamak yang di pengerusikan oleh Yang Di Pertua Jabatan Agama Negeri di Dewan Undangan Lama Negeri Sembilan, Seremban pada 15 Januari 1958 dan juga berhujjah dengan beberapa ulamak Daerah Kuala Pilah sebelum itu. Kerana ketegasan beliau itu, tauliyah mengajar yang dikurniakan oleh Yang Di Pertuan Besar N. Sembilan ditarik balik oleh Jabatan Agama Islam N. Sembilan.

PELAJARAN MENTERJEMAH AL-QUR’AN

Bagi mengembangkan pengetahuan yang beliau miliki, selain mengajar di Madrasah Ittiba Is Sunnah, Allahyarham telah menubuhkan sebuah Institusi bernama KTF Institiut yang berorentasikan Pendidikan Menterjemah Al-Qur’an secara Pos dan Keset yang diikuti oleh ribuan pelajar seluruh Malaysia termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia. Pelajaran ini berkembang sangat pesat kerana ia memiliki suatu kaedah yang sangat

hamka

mudah bagi mempelajari Al Qu’ran, dan ini diakui sendiri oleh Allahyarham HAMKA dalam Komentar Aluan beliau pada Buku Pelajaran Menterjemah Al Qur’an Sistem Harfiah. Semasa hayatnya U. Hashim telah mengarang beberapa buah buku, antaranya :

Initisari Tauhid
Bahaya Turun dari Menara
Gayung Bersambut- Pertama
Gayung Bersambut Ke Dua (As-Sunnah Membela Diri)
Apakah Muslim Wajib Bermazhab
Ibadah Haji
Kata Berbalas-Haram dan Sesat Bermazhab
Qamus Al-Qur’an Edisi Jawi dan Rumi
Pelajaran Menterjemah Al-Qur’an Sistem Harfiah
Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah
Kenapa Mesti Menurut As Sunnah
Persoalan Jahiliyah Zaman Moden
Kesesatan Al-Arqam
Imam Mahdi
Belajar Juz Amma
Qamus Al-Qur’an Edisi English
Gelanggan Soal Jawab.
Haji Qiran
Tatabahasa Al-Qur’an
Urusan Janazah

Selain itu beliau telah menerbitkan Risalah berkala setiap bulan yang bernama Risalah As Sunnah bagi Keluarga As Sunnah dan pelajarnya di Institutnya selama 5 tahun.

Beliau yang mempunyai hubungan erat dengan rakan-rakan sealiran di Perlis, telah memulakan langkah awal mengembangkan Pelajaran Menterjemah Al-Qur’an Sistem Harfiah di Kg. Peladang Kayang melalui rakan karibnya En. Hashim Man. Pelajaran ini mendapat sambutan dikalangan masyarakat, dan suatu majlis Perasmian Pelancaran telah diadakan dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh Perlis ketika itu.

perlis1

Di penghujung usianya, Ustaz Hashim sempat menimba ilmu dalam bidang perubatan daripada The Homeopathy Of British dalam tahun 1994 peringkat Diploma dan beberapa sijil kursus perubatan herbalogy di Kuala Lumpur dan mempraktikkan ilmunya dengan menubuhkan pusat rawatan herba yang dinamakan Al-Qanun. Beliau sempat menterjemahkan beberapa buku karya besar tokoh perubahan Islam dan juga Cina. Pada tahun November, 2004 beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Innalillahi waina ilaihi rajiuun.

1 ulasan:

mdnasiridris on 27 Januari 2024 pada 11:43 PTG berkata...

Salam. Kat mana nak dapatkan buku sheikh hashim?

Catat Ulasan

 
Al-Miezaan Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template