SEJARAH PERJUANGAN MIS
Madrasah Ittiba Is Sunnah atau ringkasnya MIS di Kampung Parit, Kuala Pilah ini adalah penghijrahan dari Madrasah Aliyah Islamiyah, Kampung Pelangai yang dipelopori oleh Almarhum Maadah bin Layang seorang ulamak dan tokoh agama yang terkenal semasa sebelum penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Beliau telah mendirikan Madrasah tersebut iaitu Madrasah Aliyah Islamiyah (The High Islamic School) atas bantuan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad Shah antara tahun 1937-1942.
Penubuhan MIS adalah ilham daripada beberapa tokoh Gerakan Islah tempatan seperti Dato’ Pengaman Ismail, Alang Ali, Abu Bakar Ghani Ust. Aziz Yunus dan lain-lain pada tahun 1952. Kepulangan Ust. Hashim Ghani dari melanjutkan pelajarannya di Al Mashyor, Pulau Pinang telah mengabungkan faktur-faktur pengerak tertubuhnya MIS. Pada tahun 1954 bangunan tersebut dinamakan Madrasah Ittiba Us Sunnah oleh Fakeh Sutan (Fakeh Godang) iaitu bapa kepada tokoh nasionalis Shamsiah Fakeh. Kemunculan Madrasah ini telah memberi suatu nafas baru kepada gerakan pembaharuan di Negeri Sembilan setelah penutupan Madrasah Aliyah Islamiyah di Kampung Pelangai. Pada awal gerakan ini beberapa tokoh Gerakan Pembaharuan dari luar seperti Syeikh Ahmad Amin dari Melaka, Syeikh Abu Bakar Syaari, Ibrahim Akibi sering berulang alik ke Madrasah ini untuk memberikan pengajaran dan penyubur semangat. Penubuhan MIS ini menimbulkan rasa kurang senang dikalangan mereka yang anti kepada MIS, beberapa aduan telah dibuat kepada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan. Suatu perdebatan antara MIS dengan ulamak-ulamak Kuala Pilah telah diadakan pada 5hb Ogos 1954 di Pejabat Kadzi Kuala Pilah. Jamaah As-sunnah MIS telah mendirikan Jumaat di Madrasah tersebut mulai 15 Mac 1957 bagi mengelakkan perselisihan, maka tekanan semakin kuat diterima oleh Jamaah di MIS. Berikutan itu telah timbul beberapa pergolakan yang semakin membesar diantara MIS dengan Masjid Ranjau Hantu, Kg. Parit dan Jabatan Agama Islam N. Sembilan. Krisis ini mendapat liputan meluas melalui dada-dada akhbar kerana Ust. Hashim menggunakan kekuatan penanya untuk membalas kritikan. Berikutan itu sekali lagi Jabatan Agama Islam NS telah memanggil jamaah MIS yang terdiri dari pada Ust. Hashim Ghani, Ust. Malik Hussin dan 4 orang yang lain untuk berhujjah di Dewan Majlis Agama Islam Seremban pada 15 Januari 1958 dengan dihadiri oleh 18 orang Kadzi seluruh
Negeri Sembilan, merinyu zakat fitrah serta 20 orang ahli agama yang lain sebagai pemerhati. Dalam berdebatan tersebut Mazhab, berasingan mendirikan solat Jumaat menjadi topik utama. (Catatan perdebatan tersebut akan dinukilkan kemudian). Bagi menjelaskan perpegangan fahaman MIS telah mengeluarkan satu memorandum pada 22 Julai 1966 mengenai kewujudan Jamaah As Sunnah dan perpegangan Agama menurut Al-Qur’an dan Sunnah. Tahun 50 dan 60han merupakan tahun yang amat getir bagi MIS, ia diserang dan difitnah oleh para penentang, dan dalam masa itu MIS hanya mempertahan diri dan menjawab semua tuduhan. Mulai tahun 70han MIS mengorak langkah kedepan dan mengembangkan peranan Madrasah tersebut dan membuka pengajian kepada penuntut luar. Teras pengajian di MIS ialah Pelajaran Menterjemah Al-Qur’an secara harfiah serta ilmu Nahu, saraf, Bahasa Arab serta Asbabun Nuzul, Mata pelajaran lain seperti Tauhid feqah, ibadat dan ilmu hadits turut diajar. MIS mendapat sambutan yang mengalakkan terutama pelajar-pelajar universiti yang mengikuti pelajaran itu waktu cuti. Pada tahun 1976 telah bermula satu Kursus yang diberi nama “Kursus Intensif Islamiyah” dengan tujuan untuk menanam rasa cinta umat Islam kepada Al-Qur’an dan Sunnah. Kursus Intensif ini diadakan saban tahun dan terakhir diadakan pada tahun 1980 bagi kali yang ke lima yang dihadiri oleh kira-kira 300 orang peserta kader As-Sunnah. Tahun 70han juga turut mewarnai pergeseran dengan Jabatan Agama Islam N. Sembilan dengan ketegasan MIS mempertahankan pendirian berdasar dalil dengan berbeza menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Perjalanan MIS terus berjalan sehingga sekarang walaupun sesudah ketiadaan Ust. Hashim Ghani, kini dipimpin oleh Ust. Musa Saderi yang jua menantu kepada Ust. Hashim dengan dibantu oleh Ust. Khairuddin Daud dan Dr. Nordin Rashid. Bagi mengembangkan sayap gerakan ini, sebuah badan NGO telah ditubuhkan yang bernama AL-Mizaan yang berpusat di MIS yang mempunyai jaringan seluruh Malaysia. Penubuhan Badan ini telah dirasmikan oleh Mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abidin tahun 2008 yang lalu.
(Akan bersambung)
0 ulasan:
Catat Ulasan