Khamis, 31 Disember 2009

SELINKAR CORETAN

Ustaz Hashim A. Ghani pulang ke rahmatulLah pada Sabtu 27 November 2004, Allahyarham adalah seorang pendakwah yang banyak menyumbang kepada pergerakan As-Sunnah tanahair. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 6.30 pagi selepas solat Subuh dalam usia 77 tahun. Sewaktu hayatnya, Allahyarham banyak berusaha dengan tenaga dan ilmunya kepada pembangunan Ma’ahad Ittiba Is Sunnah, Kuala Pilah dan perkembangan Jamaah as-Sunnah Malaysia. Pendidikan awalnya bermula di Madrasah Aliyah Islamiyah Pelangi di bawah kelolaan Lebai Ma’adah bin Layang yang mendapat restu Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Pada tahun 1946 Allahyarham melanjutkan pelajarannya di Madrasahal-Akhlaq, Bagan Serai, Perak dan pendidikan terakhir Allahyarham ialah di Sekolah al-Masyhor Pulau Pinang di bawah bimbingan Abu Bakar Assyari. Sewaktu mudanya, Allahyarham sering mengikuti perkembangan gerakan salafi dan mengikuti perbahasan Hj. Hassan Ahmad (Hassan Bandung) dengan ulama tanah air yang berfahaman Syafi’eiah di Pulau Pinang. Allahyarham menyimpan banyak bahan sejarah mengenai perbahasan yang dianggap hangat pada ketika itu yang tersebar ke seluruh Negara. Bagi mengembangkan ilmu yang dimiliki, Allahyarham telah mengasaskan Madrasah Ittiba Is Sunnah pada tahun 1954 bersama-sama dengan jemaahnya di Kuala Pilah dan asas perkembangan Madrasah ini ialah pelajaran menterjemah Al-Qur’an secara Harfiyah dan juga menjadi pusat gerakan as-sunnah.

Pelajaran yang diperolehi daripada guru pertama Lebai Ma’adah bin Layang diolah dengan lebih sistematik dan efektif mengikut kesesuaian zaman. Kemudian Allahyarham menubuhkan sebuah toko yang dinamakan “Balai Persuratan Miezan” dan seterusnya menubuhkan sebuah institusi yang dinamakan KTF Institut pada tahun 1973. Institut ini manganjurkan Kursus Tertulis Al-Furqan gaya pos dan kaset yang mempunyai ribuan pelajar dan kekal sehingga sekarang yang diusahakan oleh warisnya. Allahyarham berusaha keras bagi meningkatkan pengetahuan jamaah menjadi muslim yang berasaskan al-Qur’an dan al-Hadith. Usaha-usaha ini dapat dilihat dalam usahanya bersama rakan lain untuk menubuhkan Pertubuhan Muhammadiyah Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur pada tahun 1962 dan beliau dilantik sebagai Setiausaha, namun akibat konfrontasi Malaysia-Indonesia pada ketika itu usaha tersebut tergendala. Allahyarham juga menerbitkan Risalah As-Sunnah untuk Keluarga As-Sunnah Malaysia yang beliau pimpin dan ia terbit untuk selama 5 tahun bermula 1982. Pada tahun 1985 beliau dihadapkan Mahkamah atas tuduhan menerbitkan Risalah tanpa kebenaran Kementerian Dalam negeri. Di samping bergiat dalam penyampaian pelajaran menterjemah Al-Qur’an dan penyebaran dakwah, Allahyarham juga pernah menjadi wartawan di Akhbar Majlis, Berita Harian dan Utusan Malaysia yang kadangkala menggunakan nama samaran HA Zaidan di sekitar tahun lima puluh dan tujuh puluhan. Tulisannya banyak menyentuh soal pegangan agama khususnya polemik antara Ittiba Is Sunnah dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Adat Pepatih dan rencana-rencana semasa. Pena menjadi senjata kuat Allahyarham untuk membalas kritikan-kritikan terhadapnya melalui buku ‘Kata Berbalas’ dan ‘Gayung Bersambut Kedua’. Allahyarham membuat kajian tentang Adat Pepatih dan memahami perjalanan adat di Negeri Sembilan. Tulisannya sering tersiar di akhbar-akhbar di sekitar tahun enam puluhan dan tujuh puluhan. Dengan ilmu itu, Allahyarham menjadi rujukan kepada pengamal-pengamal adat di negeri tersebut dan pernah membentangkan kertas kerja di beberapa Seminar Adat Pepatih. Ustaz Hashim A. Ghani juga adalah tokoh politik yang disegani di Kuala Pilah. Pernah memegang beberapa jawatan penting dan juga dicalonkan untuk menjadi Wakil Rakyat, menjadi wakil peribadi politik kepada Menteri Kesihatan Dato’ Bahaman Shamsuddin dan mendapat pengiktirafan kerajaan dalam sumbangan beliau kepada kemerdekaan tanahair. Dihujung usianya beliau sempat menimba ilmu bidang perubatan dan memperolehi Diploma Perubatan di sebuah kolej di Kuala Lumpur dan daripada The British Institute of Homeopathy pada 22 Ogos 1994. Allahyarham mengusahakan perusahaan perubatan tradisional yang dinamakan al-Qanun. Disamping itu beliau sempat menterjemahkan beberapa buku perubatan Arab dan China yang masih belum sempat untuk diterbitkan. Pada tahun 1993 dalam perjalanan ke Perlis, Allahyarham mengalami kemalangan yang serius dan usaha tersebut terpaksa dihenti untuk beberapa tahun. Hasil perkembangan ilmunya yang terbesar ialah Pelajaran Menterjemah Al-Qur’an. Maka terbitlah beberapa buku penting iaitu Pelajaran Menterjemah al-Qur’an, Kamus Menterjemah Al-Qur’an Edisi Jawi dan Rumi, Tata Bahasa Al-Qur’an, Pelajaran Menterjemah Juz Amma dan kaset Pelajaran Menterjemah Al-Qur’an. Manakala yang masih belum diterbitkan ialah Kamus Al-Qur’an Berbahasa Inggeris, Terjemahan Al-Qur’an 30 Juzuk dan Tatabahasa Al-Qur’an Lengkap. Selainnya buku-buku Intisari Tauhid, Bahaya Turun Dari Menara, Haji Qiran, Kata Berbalas, Wajibkah Muslim Bermazhab (terjemahan), Gayung Bersambut I dan II, Imam Mahdi, Aurat Muhammadiyah Menyeleweng, Panduan Ibadat Haji, Soal Jawab, Urusan Jenazah, Masalah Jahiliyah dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (terjemahan) Filasafat Tafsir dan Kenapa Mesti Menurut Sunnah juga telah dihasilkannya. Ustaz Hashim A. Ghani mempunyai keazaman yang tinggi dalam usaha mengembangkan pelajaran al-Qur’an. Nukilannya dalam Risalah Pelajaran Al-Qur’an menggambarkan keazamannya itu iaitu KTF akan menyebar luaskan pelajarannya ke seluruh nusantara dan melahirkan jamaah yang memahami kitab al-Qur’an dan melahirkan hafiz. Seminggu sebelum pemergiannya, Allahyarham berhasrat untuk ke negeri Perlis menemui sahabat-sahabat beliau khususnya En. Hashim bin Man di Kg. Peladang Kayang kerana disanalah beliau mula bertapak bagi mengembangkan Pelajaran Menterjemah Al-Qur’an secara Harfiyah di Negeri Perlis dan sistem ini kini berkembang pesat disana. Semoga Allah (S.W.T.) mencucuri Rahmat ke atas roh Allahyarham dan memberi ganjaran besar ke atas ilmu yang ditinggalkannya. Amin.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Al-Miezaan Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template